Wednesday, November 3, 2010

Lovin' You 14

KOTOMI berjalan bersendirian menuju ke bilik persediaan kraf tangan. Hatinya kecut. Macam mana kalau dia tiba-tiba sahaja terserempak dengan Kira. Kira tentu akan memarahinya kerana berjalan seorang diri. Nori dan Ran tidak dapat menemaninya ke bilik itu. Mereka berdua dipanggil oleh Encik Yoshui, guru Pendidikan Jasmani mereka. Mereka dikehendaki mengemas stor sukan yang terletak di dalam gimnasium.

          “ Masuk,” kedengaran suara Cikgu Sasakura dari dalam bilik setelah pintu diketuk perlahan. Pintu ditolak sedikit. Kotomi menjenguk ke dalam. Dia menghela nafas lega.

          Yea! Kira tak ada! Selamat aku.

         Sangkanya, Kira tentu akan berada di dalam bilik itu juga. Sejak kebelakangan ini, Cikgu Sasakura sering meminta Kira berjumpa dengannya memandangkan Kira merupakan orang yang bertanggungjawab dalam menguruskan bahagian pementasan. Nasibnya baik. Kalaulah Kira tahu dia berjalan tanpa ditemani sesiapa, bersiap-sedialah dia menadah telinga mendengar leteran Kira. Kotomi melangkah masuk dengan wajah yang ceria.

          “ Selamat pagi cikgu. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”

          Cikgu Sasakura menarik tangan Kotomi perlahan. Wajah Kotomi dipandang risau. Raut wajahnya menandakan dia sedang merisaukan sesuatu.  

          “ Err... kenapa, cikgu?” tanya Kotomi. Dia kehairanan. Tiba-tiba sahaja raut wajah gurunya berubah. Kelihatan seperti... dia sedang fikirkan sesuatu.

         “ Kamu tak apa-apa, kan? Risau betul cikgu bila Masashi cakap kamu ditimpa musibah,” kata Cikgu Sasakura.

         “ Apa?” Bila masa pulaklah mamat tu bukak mulut cerita pasal aku?

         “ Bila Kira cerita pada cikgu?” tanya Kotomi hairan.

         Sebelum sempat Cikgu Sasakura menjawab pertanyaan, suatu suara yang cukup dikenalinya mencelah perbualan mereka. “ Aku baru je cakap tadi.”

         Kira keluar dari sebalik dinding yang memisahkan ruang hadapan dan ruang belakang bilik itu. Riak di wajah Kotomi berubah terkejut. Wajah Kira pula masih kelihatan biasa. Tenang sahaja dia bermain dengan bola kecil di tangan.

         Cikgu Sasakura tersenyum. Dia memandang Kira sekilas sebelum pandangannya tertumpu pada Kotomi kembali. Tangan Kotomi dielus perlahan.     
  
         “ Masashi baru je beritahu cikgu semuanya. Cikgu nak kamu berhati-hati selalu, ye? Dalam minggu ni, kamu tak payah datang untuk pementasan tu,” kata Cikgu Sasakura. Kotomi kaget.

         “ Tapi, macam mana dengan kerja-kerja saya?” tanya Kotomi. Wajah Kira dipandang geram. Kira tersenyum sinis. Bola kecil itu dilambung ke udara berulang kali dengan gerakan perlahan. Sebelah tangannya diletak di dalam poket. Santai dia bersandar pada dinding. Pandangan marah Kotomi langsung tidak dihiraukannya.

         “ Tak apa. Apa kata kalau minggu ni kamu cuma buat lakaran untuk kostum-kostum tu? Minggu depan cikgu boleh tengok,” pujuk Cikgu Sasakura.

         Raut lembut Cikgu Sasakura dipandang lama. Kotomi serba salah. Dia mahu menyertai rakan-rakannya yang lain di dewan, tetapi dia tidak sampai hati untuk mengecewakan guru yang risau akan dirinya. Dia tidak nampak pilihan apa yang patut dipilihnya. Tanpa pilihan, dia mengangguk perlahan. Cikgu Sasakura tersenyum.

         “ Jangan risau. Cikgu takkan singkirkan kamu dari persiapan untuk pementasan ni. Cuma cikgu nak kamu berehat dahulu minggu ni, okey?”

         Angguk.

         “ Baiklah, kamu berdua boleh masuk ke kelas sekarang. Cikgu pun ada hal sikit. Cikgu pergi dulu, ye?” kata Cikgu Sasakura menamatkan perbualan. Kira dan Kotomi mengangguk hormat sebelum guru muda itu keluar dari bilik itu.

         “ Kenapa kau ke sini seorang diri? Bukan ke aku dah kata, kalau nak ke mana-mana mesti berteman! Nori dan Ran mana?” kata Kira keras sebaik sahaja pintu bilik persediaan kraf tangan ditutup. Kotomi mencebik.

         “ Tak ada apa-apalah. Lagipun, mereka berdua ada hal. Tak dapat dielakkan,” kata Kotomi. Wajah Kira tidak dipandangnya langsung. Eii!!! Geram! Geram!!!!

         Kira ketawa sinis. “ Kau ni memang budak kecik yang tak dengar apa orang lain kata, kan? Dasar budak kecik. Menyusahkan orang je yang kau tahu,” kutuk Kira.

         “ Apa? Hei!”

         Dahi Kira ditujah kuat. Muka Kotomi merah padam. Peristiwa yang berlalu beberapa minggu lalu kembali bermain dalam ingatannya. Dia berdiri bercekak pinggang.

         “ Awak nak kena macam tempoh hari ke? Dasar bongkak! Macam manalah Pak Cik Ozu boleh tahan dengan perangai awak! Entah-entah, Pak Cik Ozu tu pernah kena serangan jantung sebab perangai awak ni!” marah Kotomi.

         Kira menggosok dahinya berulang kali. Matanya mencerlung marah. Mukanya sama merah dengan muka Kotomi yang menahan marah.

         “ Kau!” Kira baru sahaja ingin melontarkan amarahnya sebelum cakapnya dipotong seseorang.

         “ Apahal ni?”

         Kotomi dan Kira sama-sama menoleh ke sisi. Setsuna berdiri tenang di sebelah Kotomi. Kotomi tersengih.

         “ Tak ada apa-apalah. Kami cuma…”

         “ Apa kau buat kat sini?” tanya Kira datar. Matanya mencerun ke bawah.

         “ Aku lalu di sini. Nampak korang gaduh. Aku rasa kau memang tak pandai layan perempuan, kan?” kata Sestuna sinis.

         “ Apa maksud kau?” tanya Kira dingin. Setsuna ketawa.

         “ Aku rasa aku tak perlu jelaskan. Mari, Kotomi.” Tangan Kotomi ditarik mengikut langkahnya. Kotomi terkejut, namun dia tidak sempat berkata apa-apa. Langkah Sestuna yang panjang tidak membenarkannya membuat apa-apa. Wajah Kira dipandang dengan rasa bersalah. Terlupa langsung dengan pergaduhan mereka tadi.

         “ Sa… saya pergi dulu. Jumpa nanti!” laungnya.

         Kira turut berjalan pergi ke arah yang bertentangan dengan mereka.

         Kira semakin menjauh. Kotomi memandang wajah Setsuna. Matanya... kelihatan seperti menanggung sesal.

         Apa aku patut buat ni?

         Perlahan-lahan tangannya ditarik daripada genggaman kejap Setsuna. Setsuna mematikan langkah. Dia menoleh ke arah Kotomi. Gadis itu tunduk merenung lantai.

         “ Kenapa?” tanyanya perlahan.

         Kotomi diam. Tidak tahu apa yang patut dikatakan. Serba salah menguasai dirinya. Dia betul-betul tidak tahu apa yang patut dilakukan olehnya. Perbualan Pak Cik Ozu dan Setsuna masih segar dalam ingatannya. Lama kesepian menyelubungi mereka sebelum Kotomi membuka mulut.

         “ Saya nak tanya awak sesuatu. Boleh kita ke taman?”

         Dahi Setsuna berkerut. “ Awak nak tanya apa?”


KIRA membuka sebuah kotak antik berukiran indah. Kotak itu pemberian daripada datuknya semasa hari lahirnya yang ketujuh. Tangannya mencapai satu-persatu barang yang terkandung di dalamnya. Patung permainan aksinya sewaktu kecil, kamera mainan yang sudah rosak, dan guli yang berwarna-warni. Semuanya masih berada di dalam kotak itu. Dia tersenyum. Sekeping gambar dikeluarkan dari kotak itu.

         Gambar seorang lelaki tua dan seorang kanak-kanak lelaki.

         Jelas tergambar kegembiraan di wajah kedua-duanya. Gambar datuknya dan dia. Waktu itu Kira baru sahaja berusia lima tahun. Mereka berdua berada di padang kuda milik datuknya. Masih jelas dalam ingatannya.

         Pada hari itu, dia terjatuh dari seekor anak kuda dan cedera di lutut kanan. Parut berbekas kerana kejadian itu. Dia yang asyik menangis pada mulanya, dipujuk oleh lelaki tua itu. Datuknya membawa dia pulang ke rumah datuknya di sebelah padang kuda, menuju ke bilik muzik. Datuknya memainkan Schubert’s Serenade menggunakan piano. Kira yang duduk di sisi datuknya hanya ketawa gembira. Pada saat itulah, cintanya pada simfoni dan piano tersemai. Namun, setelah datuknya meninggal, segala-galanya berubah.

         Kira mengeluh berat. Gambar itu ditenung lama. Dadanya sebak. Mutiara jernih yang sudah lama tidak mengalir keluar menitis pada gambar itu. Tepat pada wajah lelaki tua yang kelihatan gembira itu.

         “ Maafkan Kira, atuk. Kira tak dapat tunaikan janji Kira pada atuk,” bisiknya sedih.  

         Masashi Kira terkenal dengan sikapnya yang dingin dalam kalangan pelajar di sekolahnya. Namun tiada siapa yang mengetahui, di sebalik tingkahnya yang dingin itu terselit pelbagai rahsia. Rahsia yang dipendamnya buat sekian lama. Hanya Pak Cik Ozu dan rakan-rakan karibnya sahaja yang mengetahui apa yang dipendamkan oleh dia. Dan... Setsuna juga.

         Setsuna dan Kira sudah lama berkawan rapat walaupun Setsuna tidak termasuk dalam kalangan mereka berempat. Mereka mempunyai impian yang hampir sama sejak kecil. Sejak Setsuna berjaya menggapai impiannya untuk bergelar penyanyi dua tahun lalu, dia terus menyepi dari sahabatnya itu. Hubungan mereka baik, namun dia yang memulakan angkara. Salahnya kerana menurut kehendak hati yang tidak dapat dikawal waktu itu.

         Kira mendongak memandang jam di dinding. jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam. Kira mengeluh. Gambar itu diletakkan kembali di dalam kotak antik itu. Kotak antik itu dimasukkan di bawah katil. Kira bangkit menuju ke pintu. Ada sesuatu yang perlu dilakukannya.


PATUNG beruang dibawa rapat ke tubuh. Keluhan sekali lagi bermain di bibirnya. Kotomi merenung kosong sekeliling bilik itu. Fuyuki dan Miyuki sudah lama lena dibuai mimpi. Mereka berdua perlu tidur awal kerana kuliah mereka akan bermula pada awal pagi lagi. Kotomi mengeluh sekali lagi. Wajah patung beruangnya ditenung pula.

         “ Yunnie, apa yang patut saya buat?” tanyanya pada patung itu. Hampir dua minggu berlalu selepas nama Yunnie ‘dirasmikan’ oleh Kira untuk patung beruangnya. Kata Kira, Yunnie itu dia ubah suai dari ketua kumpulan Tohoshinki yang diminati Kotomi, U-know Yunho. Tanpa persetujuan daripada Kotomi, nama itu terus digunakan oleh Kira. Kotomi yang pada mulanya tidak setuju, lama kelamaan nama Yunnie melekat di bibirnya. Kotomi tersenyum sendirian apabila mengingatkan peristiwa itu.

         Namun, bukan itu yang perlu dipedulikan olehnya sekarang. Apa yang perlu dia fikirkan sekarang adalah mengenai Kira. Kotomi bangun dari katilnya menuju ke luar bilik. Dia mengatur langkah menuju ke bilik rahsia itu. Perbualannya dengan Setsuna di sekolah tadi kembali bermain di fikiran. Setsuna telah menceritakan segala-galanya kepadanya.


RUMPUT yang menghijau dipandang kosong. Dia yang pada mulanya terkejut dengan pertanyaan gadis itu sebentar tadi, kembali tenang. Setsuna diam sejenak. Merangka ayat apa yang patut dikeluarkannya. Dia mengangkat wajah, memandang Kotomi yang berdiri di hadapannya.

         “ Sestuna, tolong. Saya rayu pada awak. Tolong beritahu saya apa yang berlaku sebenarnya antara awak dengan Kira. Saya dah dengar perbualan awak dan Pak Cik Ozu semalam,” pinta gadis itu sekali lagi.

         “ Awak betul-betul nak tahu tentang perkara tu?” tanya Setsuna perlahan. Kotomi mengangguk cepat.

         “ Tolonglah beritahu saya. Saya dapat lihat yang Kira seolah-olah menanggung sesuatu. Saya juga dapat lihat, sikap dinginnya itu bukan sikapnya yang sebenar,” kata Kotomi lagi.

         “ Bagaimana awak tahu?”

         “ Saya dah tinggal dengan dia hampir sebulan lamanya. Malah, ada sesuatu yang diceritakan oleh Mak Cik Inoue yang mendorong saya untuk  menanyakan perkara ini dengan awak. Tolonglah, Setsuna. Tolong beritahu saya,” pintanya lagi.

         Setsuna tergamam. Redup pandangan Kotomi dilihatnya. Hatinya gelisah. Patut atau tidak dia beritahu semuanya? Melihat pada kesungguhan Kotomi, akhirnya dia mengangguk perlahan. Setsuna mengalah.

         “ Baiklah, saya akan ceritakan semuanya.”

         Mereka berdua duduk di atas sebuah bangku taman yang terletak di situ. Setsuna menghela nafas sebelum memulakan ceritanya. Kotomi menanti dengan sabar.

         “ Sebenarnya…”


“ PAK CIK OZU KE?”

         Kira membuka pintu bilik rahsianya itu. Dia kehairanan. Takkan Pak Cik Ozu masih belum tidur lagi. Dia menjenguk ke luar. Namun, apa yang dilihat benar-benar memeranjatkannya. Susuk tubuh kecil Kotomi berdiri tegak berhadapan dengannya. Kira tergamam.

         “ Apa kau buat kat sini?” tanyanya terperanjat.

         “ Ada sesuatu saya nak beritahu awak. Tepilah!”

         Tubuh Kira ditolak ke tepi. Kotomi meloloskan diri masuk ke dalam bilik itu. Pandangannya menebar ke seluruh bilik itu. Jangkaannya tepat. Ada sebuah piano hitam terletak megah di tengah-tengah bilik itu. Di almari kecil di sudut dinding pula, kertas-kertas yang mengandungi not-not muzik tersusun kemas atasnya. Beberapa buah gambar pemuzik terkenal tergantung elok di dinding.

         “ Apa kau buat kat sini?” tanya Kira tidak percaya. Takkanlah selama ini Kotomi mengetahui kegiatannya setiap malam?

         Kotomi menghela nafas. Dia berdiri berhadapan dengan Kira. Wajah Kira dipandang tajam.

         “ Saya dah tahu semuanya. Setsuna dah ceritakan kepada saya segala-galanya!”

         “ Apa? Kau…”

         “ Tunggu. Dengar dulu apa yang saya nak cakap,” tegas Kotomi. Dia berjalan menuju ke piano itu.

         “ Dah banyak kali saya dengar simfoni tu.” Kotomi memulakan bicara. Dia berdiri membelakangi Kira. “ Pada mulanya, saya fikir apa yang saya dengar itu cuma perasaan saya. Tak mungkin ada orang main piano tengah-tengah malam macam ni. Lagipun, setahu saya tak ada piano di rumah ini. Tapi, lepas beberapa kali mendengarnya, barulah saya tahu memang ada orang yang mainkan simfoni tu berulang kali.”

         Dia berhenti sejenak. Menghela nafas.

         “ Dan, lepas saya dengar perbualan Pak Cik Ozu dan Setsuna kelmarin, baru saya sedar ada perkara yang awak sembunyikan.”

         “ Aku tak faham apa yang dikatakan oleh kau ni,” kata Kira keras.

         Kotomi ketawa sinis. “ Awak memang nak jadi pemain piano, kan?”

         “ Apa?”

         “ Awak dah simpan impian untuk menjadi pemain piano sejak kecil, kan? Sejak datuk awak ajar awak main piano, sejak awak mula mengenali piano. Tapi, Tuan Masashi tak benarkan awak gapai impian awak, betul tak apa yang saya cakap?”

         “ Tak! Aku…”

         “ Awak tak payahlah nak tipu. Awak berjanji pada datuk awak, awak akan menjadi pemain piano suatu hari nanti. Tapi, awak kecewa bila bapa awak tak benarkan. Bapa awak nak awak mewarisi syarikatnya. Lepas Setsuna berjaya mencapai impiannya untuk menjadi penyanyi, impian yang sudah lama ingin dia laksanakan, awak putuskan persahabatan awak dengan dia. Sebab apa? Sebab awak cemburu!”

         “ Kotomi!” Kira mula berang. Api kemarahannya semakin memuncak. Wajah Kotomi dipandang geram. Mukanya merah.

         “ Awak tak patut buat macam tu,” kata Kotomi perlahan. Hatinya kecut, namun dia gagahi juga untuk meluahkan apa yang bersarang di dada.

         “ Awak tak patut cemburukan dia. Awak tak patut bersikap dingin sebab perkara tu. Datuk awak tentu kecewa sebab awak berkelakuan macam ni.”

         Sepi. Kira yang cuba menahan rasa amarahnya tidak berjaya. Dadanya berombak ganas. Wajahnya kelihatan seperti mahu menelan Kotomi hidup-hidup. Dia mara ke hadapan. Wajah Kotomi dipandang tajam.

         “ Kau tak layak nak kata apa-apa! Kau tak tahu apa-apa! Kau tak tahu, macam mana perasaan aku bila ayah aku tak benarkan aku teruskan impian aku! Dah lama, dah lama aku simpan impian tu! Ayah aku tak tahu apa-apa, apa yang penting bagi dia cumalah perniagaannya. Dia langsung tidak pedulikan perasaan aku!” jerkah Kira. Wajahnya bertambah merah.

         “ Kira…” Hati Kotomi bertambah kecut. Takut melihat raut Kira yang bengis, terkejut dengan jerkahan Kira yang tiba-tiba.

         “ Tidak! Kali ni giliran kau dengar apa yang aku nak cakap. Selama ni hanya datuk aku yang pedulikan perasaan aku. Saat ayah aku marah apabila dia tahu pasal tu, hanya datuk aku je yang pertahankan aku! Mak aku pun sama! Dia cuma diam, turuti apa yang ayah aku cakap! Kau tak faham. Kau tak akan faham. Segala-galanya berubah lepas datuk aku meninggal dunia. Ayah aku tak benarkan aku bermain piano lagi! Dia nak aku tumpukan pada perniagaannya! Dia memang dan tak akan faham perasaan aku sampai bila-bila! Dia lebih pentingkan perniagaannya tu daripada aku!” marah Kira lagi. Dia meraup wajah. Segala-galanya dah diluahkan. Apa yang ditanggungnya selama ini, akhirnya terluah jua. Walaupun kepada Pak Cik Ozu, dia tidak luahkan kesemuanya.  Dia banyak memendam rasa selama ini.

         Kotomi senyap. Dia tidak tahu apa yang patut dikatakan. Begitu berat perasaan yang ditanggung Kira selama ini. Air mata bergenang di tubir mata. Wajah Kira dipandang sayu.

         “ Sejak kecil lagi…” Kira kembali bersuara. Kali ini nadanya sayu. Meruntun perasaan Kotomi yang mendengarnya. Kotomi cuba menahan air matanya luruh. Dia tunduk memandang lantai.

         “ Sejak kecil lagi… hidup aku dikawal oleh ayah aku. Aku tidak dibenarkan bermain seperti kanak-kanak yang lain. Aku dipaksa belajar setiap hari. Setiap hari, ada pengajar yang akan datang ke rumah dan mengajar aku pelajaran yang tidak patut lagi dipelajari oleh kanak-kanak seusia aku. Hanya datuk aku, hanya datuk aku je yang faham perasaan aku.” Matanya merah. Cuba menahan air mata yang bakal mengalir pada bila-bila masa.

         Air mata Kotomi tumpah. Dia teresak-esak. Tidak dapat dibayangkan bagaimana hidup Kira sewaktu kecil. Dia memeluk tubuh. Menahan esak yang semakin menjadi-jadi.

         “ Maaf… saya tak tahu…” Begitu menggunung sesal di hatinya. Jika dia tidak memaksa Kira mendengar apa yang ingin dikatakan olehnya tadi, mungkin Kira tidak perlu mengenang peristiwa yang banyak melukakan hatinya.
        
         Kira mengeluh. Kotomi didekati.

         “ Tolong, jangan menangis lagi,” lirih Kira bersuara.

         Kotomi menggeleng. “ Saya tak patut paksa awak dengar apa yang patut saya katakan tadi. Saya minta maaf...” Air mata masih mencurah turun pada pipinya.

         “ Jangan menangis lagi. Tolonglah. Jangan menangis lagi.”

         Tanpa disangka-sangka, Kira menarik Kotomi dalam pelukannya. Erat. Kotomi tergamam. Dia tidak dapat berkata apa-apa. Tidak langsung menjangka Kira akan berbuat demikian.

         “ Tolonglah. Jangan menangis lagi… Tolong…”

         Di luar, hujan mula turun. Hujan yang pada mulanya hanya sekadar rintik-rintik kecil yang membasahi permukaan bumi, mula menjadi lebat. Seolah-olah memahami perasaan Kira sekarang. Kesedihan yang sudah lama dipendam olehnya.

TVXQ - Lovin' You