Wednesday, November 3, 2010

Lovin' You 9

“ KOTOMI, mari ikut kami ke bilik persediaan kraf tangan. Cikgu Sasakura panggil,” ajak Nori.

         Kotomi mengangguk. Fail yang berisi lukisannya disimpan dalam beg. Dia bangun dari duduknya lalu berjalan ke pintu kelas. Nori dan Ran sudah menunggunya di hadapan kelas.

         “ Cikgu Sasakura nak buat apa untuk kelas nanti?” tanyanya. Ran mengangkat bahu.

         “ Tak pasti. Tapi, kelmarin aku nampak Cikgu Sasakura bawa masuk guni berisi kapas dalam kelas persediaan. Cikgu nak ajar buat anak patung agaknya,” kata Ran.

         “ Anak patung?”

         “ Patung beruang agaknya?” teka Nori.

         “ Mungkin. Lagipun, kita patut masuk silibus tu dalam bulan ni,” kata Ran.

         Pintu bilik persediaan kraf tangan itu dibuka. Kotomi terkejut. Kira sedang bercakap dengan Cikgu Sasakura dalam bilik itu. Dia cuba mengawal raut wajahnya. Peristiwa semalam menjengah mindanya.

         “ Baiklah, Masashi. Awak boleh pulang ke kelas sekarang. Kalau ada apa-apa, saya akan cari awak,” kata Cikgu Sasakura. Kira mengangguk. Sebelum Kira keluar dari bilik itu, dia sempat mengerling ke arah Kotomi. Kotomi berpura-pura memandang ke perhiasan kaca yang terletak elok di atas meja gurunya. Tanpa berkata apa-apa, Kira keluar dari bilik itu. Pintu ditutup rapat.

         “ Hari ni cikgu akan ajar kamu semua buat anak patung kain. Tolong cikgu bawa semua peralatan ni ke kelas kraf tangan, boleh?”

         “ Baik.”

         Mereka bertiga mengusung kotak sederhana besar yang berisi tiga guni seperti mana yang dikatakan oleh Ran. Kotomi menjenguk ke dalam kotak itu. Dua buah bekas plastik turut berada dalam kotak itu. Kelihatan butang-butang berwarna hitam berada dalam bekas itu.

         “ Ada apa-apa lagi yang perlu kami tolong?” tanya Kotomi.

         Cikgu Sasakura menggelengkan kepalanya. “ Tak ada. Kamu tolong bawa semua tu ke kelas, ye? Terima kasih,” ucap guru muda itu lembut. Mereka bertiga mengangguk. Belum sempat mereka keluar dari bilik itu, nama Kotomi dipanggil. Kotomi menoleh.

         “ Ada apa, cikgu?”

         “ Cikgu ada perkara nak beritahu. Nori, Ran, kamu berdua boleh pergi dulu,” kata Cikgu Sasakura. Mereka berdua mengangguk. Kotomi mendekati Cikgu Sasakura.

         “ Masashi beritahu cikgu, dia nak kamu jadi pembantu dia untuk bekerja di belakang pentas. Betul ke?” tanya Cikgu Sasakura. Wajah Kotomi dipandang lembut. Kotomi mengangguk.

         “ Cikgu setuju. Sepanjang dua tahun cikgu jadi guru kamu, kamu memang pandai mereka kostum. Cikgu rasa, cikgu nak buat pementasan muzikal Beauty and The Beast, apa pendapat kamu?” tanya Cikgu Sasakura. Dia mengeluarkan sebuah buku dari laci mejanya. Buku itu diserahkan kepada Kotomi.

         “ Dongeng tu bagus juga. Tapi, cikgu kena cari pelajar yang pandai menari, berlakon dan menyanyi kalau cikgu nak buat pementasan muzikal. Bukan senang nak cari pelajar yang berbakat macam tu,” kata Kotomi.

         “ Betul juga kata kamu. Macam nilah, kita buat pementasan Puteri Salji. Dongeng ni memang popular di Jepun. Kamu boleh rujuk buku atau internet.”

         “ Tapi, dongeng Puteri Salji terdapat dalam pelbagai versi. Cikgu nak dongeng yang mana satu?” tanya Kotomi.

         “ Kamu tahu dongeng Puteri Salji yang mana keikhlasan pemuda tu berjaya mencairkan hati Puteri Salji yang dingin di akhir cerita?”

         Kotomi mengangguk.

         Cikgu Sasakura tersenyum. “ Kita guna dongeng tu untuk pementasan nanti. Cikgu akan berbincang dengan kamu nanti. Kamu boleh mulakan lakaran untuk teater tu sekarang. Tengah hari esok, cikgu akan jalankan uji bakat. Datang ke Dewan Hanami pukul 2.00, cikgu perlukan kamu. Boleh?”

         “ Baiklah, cikgu.” Kotomi tunduk hormat sebelum keluar dari bilik itu.


KIRA berbaring atas katilnya, memandang siling. Sudah beberapa kali dia mengubah posisinya di atas katil. Dia resah. Peristiwa petang kelmarin sudah beberapa kali menjengah mindanya. Peristiwa itu betul-betul membuatkan dia kagum dan... marah terhadap Kotomi. Dia bernasib baik hanya Mak Cik Inoue sahaja yang berada dalam dapur ketika itu, jika tidak dia tidak tahu apa yang akan dilakukannya. Kira ketawa kecil.

         “ Ahhh!!!”

         Kira menekup mukanya. Krim kek telah menjadi topeng di mukanya. Kotomi ketawa. Dia menjilat krim yang masih berada di jarinya. Mak Cik Inoue terkejut. Terkejut dengan tindakan berani Kotomi.

         “ Kau gila ke?” marah Kira. Dia segera menuju ke sinki. Paip dibuka. Air yang mencurah keluar segera ditadah. Berulang kali dia menggosok mukanya. Tuala yang dihulur oleh Mak Cik Inoue segera diambil. Kotomi menekup mulut, menahan tawa.

         “ Kalau awak rasa awak nak ejek saya, baik awak fikir sepuluh kali sebelum awak lakukannya. Padan muka,” pesan Kotomi. Dia menjelirkan lidahnya sebelum berlari keluar dari dapur. Mak Cik Inoue hanya diam, tidak berani berkata apa-apa.

         “ Gila,” gumam Kira berulang kali. Budak tu spesies apa? Sebelum ni belum ada sorang pun yang berani buat aku macam ni. Dahlah aku ni majikan dia, tak sedar diri betul budak tu!

         “ Err… tuan muda? Tuan muda tak apa-apa?” tanya Mak Cik Inoue teragak-agak. Kira mengangguk sekilas.

         “ Saya masuk dalam bilik dulu,” kata Kira perlahan sebelum berjalan keluar dari dapur. Mak Inoue mengangguk.

         “ Ba… baik.”


KOTOMI meletakkan jarumnya di atas meja sebelum meneliti jahitannya pada patung beruang itu. Dia melihat jam di dinding. Jam sudah menunjukkan pukul 1.15 pagi. Hanya dia yang masih berjaga. Miyuki dan Fuyuki sudah lama dibuai mimpi. Lampu bilik telah dipadamkan. Hanya sinaran lampu meja yang bersebelahan dengan katil Kotomi sahaja yang melimpahkan sinar di bilik itu.

         Kotomi mengeluh. Dari semalam lagi dia tidak bertegur sapa dengan Kira dek perbuatannya kelmarin. Malah, dia langsung tidak menunggu Kira untuk ke sekolah bersama-sama. Dia kembali menunggang basikalnya kerana tidak mahu berada dekat dengan lelaki itu. Dia mencebik secara tiba-tiba. Dah tua pun nak merajuk ke? Aku yang kena usik tiap-tiap hari tak merajuk pun.

         Sedang Kotomi asyik melayani fikirannya, dia dikejutkan dengan suatu bunyi merdu. Kotomi mendongak, memerhati ke arah tingkap. Nampaknya bunyi itu datang dari taman bunga ros, atau kawasan berhampiran dengan taman itu. Kotomi menelan liur. Hatinya kecut, tetapi dia memberanikan diri untuk keluar dari bilik itu.
                 
         Bunyi apa tu? Macam bunyi piano je. Tapi, aku tak pernah nampak piano pun kat sini. Kotomi berjalan perlahan agar bunyi tapak kakinya tidak menganggu lena penghuni rumah agam itu. Hanya lampu dinding bersinar kelam sepanjang jalan menuju ke hujung rumah itu. Taman bunga ros itu terletak berhampiran dengan bilik rahsia itu, dan bilik itu terletak di hujung rumah ini.

         Semakin lama bunyi merdu itu semakin kuat kedengaran. Kotomi melihat taman bunga ros itu dari pintu kaca. Kelam. Kedengaran air terjun mengalir dari kolam di taman.

         Bunyi tu datang dari bilik tu ke? Kotomi mengalih pandang ke arah bilik itu. Dia tidak nampak sebarang cahaya yang menerangi bilik itu. Dahinya berkerut. Bunyi itu semakin lama semakin perlahan lalu berhenti. Kotomi merapati bilik itu perlahan-lahan.

         Erk?

         Dia perasan pintu bilik itu dibuka. Dia segera bersembunyi di sebalik almari hiasan yang terletak bertentangan dengan jalan menuju ke bilik itu. Kotomi memeluk lututnya erat. Dia menggigil. Bunyi tapak kaki keluar dari bilik itu menarik perhatiannya. Dia mengangkat sedikit wajahnya namun dia tidak dapat mengecam siapakah yang keluar dari bilik itu.

         Siapa tu?

         Susuk tubuh itu hilang dalam kegelapan. Selepas memastikan tiada orang berhampiran dengan tempat persembunyiannya, Kotomi segera melangkah menuju ke bilik. Dia terus menghela nafas lega selepas pintu biliknya ditutup. Kotomi berbaring di atas katil. Selimut ditarik menutupi tubuh, anak patung beruangnya didakap erat. Dia termenung panjang. Alunan merdu piano tadi kembali mengusik telinganya. Alunan itu sungguh merdu, sungguh. Dia tidak dapat menafikannya. Perlahan-lahan, matanya dipejamkan. Kotomi terlelap.   

No comments:

Post a Comment

TVXQ - Lovin' You