Wednesday, November 3, 2010

Lovin' You 10

“ KOTOMI, Cikgu Sasakura panggil!” laung rakan sekelasnya.

         “ Aaa… okey! Okey! Sebentar!” balasnya tergesa-gesa. Buku-bukunya dimasukkan ke dalam beg. Telefon bimbitnya disimpan dalam poket vest hitam yang dipakainya. Kotomi berlari-lari anak menuju ke pintu kelas.

         “ Maaf, cikgu. Saya…”

         Cikgu Sasakura ketawa. “ Tak ada apa-apalah. Kebetulan cikgu baru habis mengajar kelas tahun pertama, cikgu terus ke sini. Mari, kita ke dewan.”

         Kotomi mengangguk. Dia berjalan menuruti langkah gurunya itu.

         “ Cikgu lupa nak beritahu kamu, Setsuna akan terlibat dalam persembahan pentas, jadi kamu akan bekerjasama dengan dia,” kata Cikgu Sasakura. Kotomi mengangkat wajah, memandang wajah gurunya.

         “ Setsuna?”

         Cikgu Sasakura mengangguk. Kotomi terdiam. Dia kenal siapa Setsuna. Lelaki itu merupakan pelajar tahun ketiga jurusan perfileman. Namun apa yang lebih menarik, Setsuna merupakan salah seorang bintang remaja yang semakin meningkat naik. Dia juga merupakan pewaris tunggal kepada syarikat perkapalan milik datuknya. Selain Kira, Setsuna juga merupakan pujaan gadis di sekolahnya. Dia mengeluh.

         “ Kenapa, Kotomi?” tanya Cikgu Sasakura yang mendengar keluhannya. Kotomi tersengih.

         “ Entah. Saya rasa lain macam… mungkin sebab Setsuna terlibat sama. Diakan penyanyi popular, manalah tau kalau dia tak suka berkerjasama dengan saya nanti,” katanya.

         “ Kamu tak perlu bimbang. Cikgu kenal Setsuna. Dia bukannya jenis orang yang sombong. Tapi, mungkin sebab dia suka bersendirian sebab tu orang lain fikir dia tu sombong. Walau bagaimanapun, itu tidak menghalang dia untuk punya ramai peminat, kan?” kata Cikgu Sasakura. Dia mengenyit mata kepada Kotomi.

         “ Ohh… eheh…heh…”

         Pintu Dewan Hanami dibuka. Mereka berdua menuju ke belakang pentas. Di situ sudah ramai pelajar yang mahu menjalani sesi uji bakat menunggu. Dari pengamatan Kotomi, kebanyakan pelajar perempuan mahupun lelaki yang datang untuk sesi uji bakat kebanyakannya dari kelas tarian atau muzik. Dia perasan, sebaik sahaja dia masuk bersama-sama Cikgu Sasakura, ada sekumpulan gadis yang memandangnya dengan tajam. Apahal pulak dengan mereka tu? Tak pernah tengok orang ke?

         “ Kotomi?”

         Kotomi menoleh ke belakang sebaik sahaja dia terdengar namanya dipanggil. Dia terkejut. Kira!

         “ Apahal?” Mamat ni nak berbaik dengan aku ke?

         “ Ikut aku. Cikgu Sumaragi nak jumpa,” kata Kira perlahan. Dia segera berlalu sebelum sempat Kotomi berkata apa-apa. Kotomi mencebik.

         Nak gaduh dengan aku lagilah tu!

         Di hujung ruang Cikgu Sumaragi sudah menantinya bersama Cikgu Sasakura. Kotomi menyapa kedua-duanya gurunya itu sebelum mengambil tempat di sisi Kira. Cikgu Sumaragi menghulurkan lima helai kertas bercetak kepada Kira dan Kotomi. Kotomi segera meneliti apa yang tercatat atas kertas itu.

         “ Kamu akan tolong Kira laksanakan tugas dia. Tentang kostum pulak, cikgu dah minta tolong kawan kamu. Nori dan Ran akan tolong kamu siapkan kostum tu. Sekarang ni sesi uji bakat akan bermula, kamu boleh ikut cikgu. Mari,” ajak Cikgu Sumaragi setelah memberikan penerangan. Mereka berdua mengangguk.

         “ Okey, semua! Sila ke hadapan pentas,” umum Cikgu Sasakura. Kelompok pelajar tadi mengikut guru muda itu menuju ke hadapan pentas. Kotomi dan Kira turut berjalan menuju ke sana. Mereka turun dari pentas, duduk di tempat duduk penonton bersama guru-guru mereka.

         Para pelajar dibahagikan kepada dua kumpulan. Sekarang ini uji bakat akan dijalankan untuk mencari watak utama. Kotomi ketawa dalam hati. Beberapa orang pelajar kelihatan terlalu kaku, sesetengah pula kelihatan terlalu menghayati lakonan mereka. Seronok jugak tengok uji bakat ni!

         Tanpa dia sedari, Kira asyik mengerling dia sejak uji bakat bermula lagi. Namun Kira tetap senyap. Kotomi menggosok matanya. Tanpa berkata apa-apa dia bangun dari duduknya dan berjalan menuju ke tempat duduk penonton di hujung dewan. Dia mengeluarkan buku notanya serta pensil. Dia mula melakar kostum untuk puteri salji dan pengembara itu. MP3 dipasang. Stand by U berlagu di telinga. Mata pensil menari di atas kertas. Kotomi asyik dengan dunianya tanpa menyedari ada seseorang duduk di sisinya.

         “ Kotomi?”

         Senyap.

         “ Kotomi?” Suaranya dikuatkan sedikit.

         Senyap.

         Dia mengeluh. Fon telinga ditarik dari telinga Kotomi. Kotomi terkejut. Apasal tiba-tiba senyap je ni?



         Dia menoleh ke sisinya. Kira duduk tenang di sebelahnya. Tangan kanannya memegang fon telinga putih milik gadis itu. Kotomi mencebik. Tanpa berkata apa-apa, dia terus merampas kembali fon telinga itu. Sebaik sahaja fon itu selamat berada di telinganya dia terus bangun dari duduknya, berjalan menuju ke belakang pentas. Di situ, dia duduk di atas sebuah meja yang terletak berhampiran dengan sebuah almari. Kakinya terjuntai ke bawah. Kotomi menyambung rekaannya kembali.

         “ Cik?”

         Ada orang panggil aku ke?

         Fon telinga sebelah kanan dicabut. Kotomi mengangkat wajah. Seorang pelajar lelaki berdiri di hadapannya. Keningnya bercantum. Wajah pelajar itu seperti dikenalinya, namun dia tidak dapat mengingatinya dengan jelas. Setelah lama berfikir barulah dia perasan. Setsuna!

         “ Ada apa?” Dia cuba mengawal rasa terkejutnya. Dia turun dari meja itu, berdiri di hadapan idola remaja terkenal itu. Sebagaimana dia berhadapan dengan Kira, dia terpaksa mendongak untuk melihat wajah Setsuna. Kotomi merungut dalam hati. Kenapalah mamat ni tinggi macam musuh aku tu? Aku ni dahlah tak cukup ketinggian. Nak cakap pendek, tak sampai hati pulak! Huh!

         “ Ada nampak Cikgu Sasakura tak? Dah lama saya cari dia,” tanya lelaki itu berhemah.

         “ Cikgu Sasakura kat hadapan pentas. Sekarang ni sesi uji bakat bermula. Awak boleh cari dia kat sana,” kata Kotomi. Dia kembali memakai fon telinga.

         “ Terima kasih,” ucap Setsuna. Kotomi mengangguk perlahan sebelum kembali duduk di atas meja, meneruskan kerjanya. Setsuna berjalan pergi. Sebelum sempat dia masuk ke hadapan pentas, dia memandang Kotomi yang asyik menyudahkan rekaannya kembali. Dia berhenti berfikir sejenak sebelum kembali melangkah.


JAM di tangan menunjukkan pukul 5.00 petang. Sudah lima belas minit dia keluar dari Dewan Hanami menuju ke bangunan sekolah. Sengaja dia keluar awal dari dewan itu untuk mengelakkan diri daripada Kira. Dia juga perlu ke Dewan Besar. Dewan Besar yang terletak di bangunan pertama sekolah itu menempatkan lokar para pelajar. Pintu pagar utama sekolah terletak bertentangan dengan bangunan itu. Kebiasaannya, pintu yang menghubungkan Dewan Besar dengan bangunan sekolah akan dibuka demi memudahkan pelajar memasukinya.

         Kotomi memerhati sekeliling bangunan sekolah. Sepi. Kebanyakan pelajar yang mempunyai aktiviti kelab sudah pulang. Mungkin hanya pelajar yang terlibat dengan pementasan itu sahaja yang masih berada dalam sekolah ini.

         “ Senyap semacam je. Dahlah sekolah ni besar, baik aku cepat,” katanya sendirian. Kotomi menguatkan cengkaman pada beg sandangnya dan mempercepatlan langkahnya. Namun, ada sesuatu yang membuatkan dia berhenti tanpa dia sedar.

         Simfoni.

         Bunyi simfoni kedengaran dari sisinya. Kotomi menoleh ke kanan. Bilik piano! Alunan simfoni merdu itu menarik perhatiannya. Tombol pintu dicapai, tetapi ada sesuatu yang menghalang niatnya. Dia teringatkan peristiwa semalam. Masih jelas terngiang di telinganya alunan merdu semalam. Dia mengeluh.

         Siapa yang berada dalam bilik tu? Tapi, bilik tu bilik Kira. Mungkin dia, tapi.... Takkan dia tak tidur lagi lewat malam semalam?

         “ Cik?”

         Ha? Kotomi mendongak. Sesusuk tubuh berdiri di hadapannya.

         “ Cik buat apa kat sini? Cik nak masuk ke?” tanya pelajar lelaki itu.

         “ Er… awak….” Fikirannya kabur.

         “ Saya Setsuna. Kita ada bertemu tadi di belakang pentas,” kata pelajar lelaki itu.

         Riak wajah Kotomi berubah terkejut. Pipinya merah. ” Ma… maaf. Saya sebenarnya... Err....”

         Setsuna mengukir senyum. Dia keluar dari bilik piano itu dan menutup pintu. Dia berdiri menghadap gadis kecil itu. Kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar.

         “ Kinimoto Kotomi… emmm… Awak tak kisah kalau saya panggil awak Kotomi? Walaupun kita baru kenal?” tanya Setsuna. Pandangannya tertumpu pada tanda nama yang dipinkan di atas lencana sekolah.

         “ Oh! Okey. Saya tak berniat nak menganggu, cuma…Awak ke yang bermain piano tadi?” Spontan Kotomi bertanya. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sebaik sahaja dia melontarkan soalan itu, dia merasakan mahu sahaja dia membenamkan mukanya dalam air. Pipinya bertambah merah. Kenapalah aku tanya soalan tu? Hish!! Bodohnya! 

         Setsuna ketawa. “ Ha’ah. Awak nak ke mana sebenarnya? Dah lewat petang ni.”

         “ Saya nak ke Dewan Besar. Saya pergi dulu. Maaf kalau menganggu,” kata gadis itu seraya mengangguk kecil. Dia baru sahaja mengatur langkah sebelum namanya dipanggil kembali.

         “ Ada apa?”

         “ Cikgu Sasakura beritahu saya, awak yang bertanggungjawab dalam lakaran kostum. Gembira bekerjasama dengan awak,” kata Setsuna. Senyuman tidak lekang dari bibirnya.

         ” Oh, baik. Saya pergi dulu. Jumpa lagi,” kata Kotomi. Setsuna masuk kembali ke dalam bilik piano itu.

         Kotomi berlari-lari anak menuju ke Dewan Besar. Sesekali dia melihat pada jam tangannya. Bibirnya juga mengomel kecil. Kesunyian menyelubungi Dewan Besar. Hanya dia sahaja yang berada di dalam dewan itu. Dia memperlahankan langkah, menuju ke lokarnya. Pintu lokar dibuka.

         Apa ni? Kotak?

         Sebuah kotak kecil terletak elok di dalam lokar. Dia mencapai kotak itu. Tiada nama pengirim. Kotomi memandang sekelilingnya. Tiada sesiapa yang berada dalam dewan ini selain daripadanya. Dia membuka penutup kotak itu.

         “ Arggghhhhhh!!!!!” 


          

No comments:

Post a Comment

TVXQ - Lovin' You