Wednesday, November 3, 2010

Lovin' You 7

JAM sudah menunjukkan pukul 2.30 petang. Hampir lima belas minit Kotomi menunggu Kira di taman. Dia mengeluh. Jam di tangan dikerlingnya lagi. Dia mengetap bibir. Kakinya yang terjuntai dari meja batu itu digerakkan berulang kali.

         “ Mana mamat ni? Dah lama aku tunggu, dia tak muncul-muncul lagi. Menyusahkan orang betul,” bisiknya sendirian. Matanya liar melihat sekeliling taman itu, cuba mencari kelibat Kira dalam kalangan pelajar yang berada di taman.

         “ Kalau aku balik jalan kaki, dia marah pulak. Susah,susah...” bisiknya lagi. MP3 dikeluarkan  lalu dipasang. Crazy Love bermain di telinganya. Sekali lagi lagu Tohoshinki menjadi pilihannya. Kotomi merupakan peminat setia kumpulan asing dari Korea Selatan itu. Hampir kesemua lagu yang terkandung dalam MP3nya merupakan lagu daripada kumpulan itu. Tidak kiralah lagu berbahasa Jepun atau Korea.

         Kawasan taman itu semakin lengang. Kebanyakan pelajar sudah pulang ke rumah, namun masih ada segelintir pelajar yang masih berada di sekolah. Kebanyakan daripada mereka menyertai aktiviti kelab. Kelab yang berlainan akan mengadakan aktiviti mereka pada hari yang berlainan.

         Beberapa minit sudah berlalu. Kotomi mengerling sekali lagi pada jam di tangannya. Dia mengeluh kuat.

         “ Baik aku pulang. Lantaklah dia nak marah aku ke tak,” bebel Kotomi. Beg sandang dicapai. Dia melompat dari meja batu itu. Baru sahaja dia melangkah pergi, Kotomi terdengar namanya diseru seseorang. Dia menoleh.

         “ Baru nak muncul?”

         Kira berjalan selamba menuju ke arahnya. Kotomi mencebik. Dia menguis rumput dengan hujung kasutnya. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia mencabut kasutnya dan melempar tepat pada muka lelaki itu.

         “ Kenapa lambat?” tanya Kotomi sebaik sahaja Kira berdiri di hadapannya. Kira tersengih.

         “ Maaf, Cikgu Sumaragi nak jumpa dengan aku tadi. Pasal festival sekolah musim bunga bulan depan,” jelasnya.

         “ Festival sekolah? Kenapa?”

         “ Cikgu minta tolong uruskan bahagian pementasan. Cikgu Sasakura nak buat teater, jadi Cikgu Sumaragi minta tolong. Aku jadi ketua bahagian pementasan. Kau nak berlakon ke?” usik Kira.

         Kotomi pantas menggeleng laju. “ Tak nak.”

         “ Siapa pembantu awak?” tanya Kotomi lagi.

         “ Kaulah.”

        “ Ek?”

         “ Aku dah beritahu Cikgu Sumaragi dan Cikgu Sasakura. Kau akan tolong aku dan kau juga akan reka kostum untuk teater tu. Nak tak?”

         “ Nak!” Laju Kotomi menjawab. Kira ketawa. Kepala Kotomi diusap lembut.

         “ Aku pernah lihat lakaran fesyen kau. Cikgu Sasakura tak cakap lagi apa tajuk untuk pementasan teater tu. Dia nak jalankan uji bakat selepas ini,” terang Kira. Mereka berdua berjalan menuju ke pintu pagar sekolah. Bentley hitam sudah menunggu di situ.

         “ Awak tak nak berlakon?”

         Kira menggeleng. “ Sekarang ni pun aku dah jadi perhatian pelajar perempuan sekolah ni, kalau aku jadi hero teater tu tentu lagi popular aku,” katanya sambil tersenyum.

         “ Perasan.”

         Kira ketawa besar. Kotomi mencebik. Pak Cik Ozu yang menunggu di luar kereta tersenyum. Gembira melihat perubahan Kira.


“ KAMU semua nampak tak? Aku tak percaya!”

         Mio menggeleng. Begitu juga dengan rakan-rakannya yang lain.Yui mengetap bibir. Dua wajah gembira yang diperhatinya benar-benar membuatkan dia menyampah. Terutamanya wajah gadis itu yang tersenyum riang.

         “ Putera kita… dah ada kekasih ke?” kata Nami sedih. Dia memeluk beg sandangnya. Azumi menggeleng.

         “ Takkanlah. Entah-entah budak tu orang gaji rumah dia.”

         “ Ya ke? Tapi, nampak gembira betul mereka berdua,” kata Nami lagi.

         “ Janganlah fikir macam tu! Aku ada rancangan, kita siasat siapa budak tu dan tanya dia sendiri!” kata Yui bersemangat. Dia memandang ke arah semua rakannya. Azumi dan Hyun A mengangguk.

         “ Setuju!”

No comments:

Post a Comment

TVXQ - Lovin' You