Wednesday, November 3, 2010

Lovin' You 6

“ KAU dah jumpa dengan budak tu?” tanya Shin.

         Kira hanya mengangguk. Dia menekup muka ke meja. Shin mengalih pandang ke arah Toma dan Hiro, namun kedua-dua sahabatnya itu hanya mampu mengangkat bahu. Shin menepuk bahu Kira.

         “ Kau ada masalah? Biasanya kau ada masalah kalau kau macam ni. Ibu bapa kau ungkit pasal ‘ benda ’ tu lagi?” tanya Shin. ‘ Benda ’  itulah yang sering menimbulkan masalah dalam diri Kira sekaligus boleh merenggangkan hubungan Kira dengan kedua-dua ibu bapanya. Mereka bertiga sudah faham apa yang berlaku dalam keluarga Kira.

         “ Bukan pasal ‘ benda ’ tu,” kata Kira. Dia mengangkat wajah dan memerhati ke luar tingkap.
                
         “ Habis tu?”

         “ Aku minta tolong budak tu kemaskan barang aku, aku benarkan dia tengok kertas-kertas tu. Lepas tu, dia tanya aku sama ada aku yang karang not-not muzik. Aku rasa sakit hati, aku terbayang wajah bapa aku. Aku ingat kata-kata dia, aku rasa nak marah je masa tu,” katanya perlahan.

         “ Kau marahkan budak tu?” tanya Toma.

         Kira menggeleng. “ Aku terus tinggalkan bilik tu dan tak cakap apa-apa. Aku tak dapat tahan perasaan aku masa tu. Aku betul-betul tak tahan.” Kira menekup muka. Hiro mengeluh.

         “ Kau tak nak jumpa budak tu ke?”

         Kira segera mendongak. “ Untuk apa?”

         “ Mungkin kau rasa biasa je, tapi aku rasa kau perlu jumpa dia. Dia tentu pelik kenapa kau senyap masa tu, mungkin dia fikir kau marahkan dia. Sebelum ni, dia tentu tak kisah kalau kau marah atau mengamuk sebab kau bukan majikan dia lagi. Selepas dia bekerja dan tinggal di rumah kau tentu dia rasa tak selesa kalau kau marah dia. Kau selesa ke kalau kau tinggal serumah dengan orang yang bencikan kau. Mungkin itu apa yang budak tu rasakan sekarang.”

         Wajah Kira kabur. Hiro tersengih. “ Kitorang boleh tolong kau. Mari, kita ke kelas dia. Kita ke fakulti seni. Kau pernah kata dia pelajar jurusan seni, kan?” 


LOCENG berdering menandakan masuknya waktu rehat. Kebiasaannya, para pelajar akan menuju ke kafe sekolah. Namun, ada juga pelajar yang akan berada di kawasan taman sekolah. Seperti yang dijanjikan Hiro, mereka berempat akan pergi menemui Kotomi. Kira, Shin, Hiro serta Toma berjalan beriringan menuju ke bangunan fakulti seni.

         Seperti biasa, pelajar-pelajar perempuan akan berhenti berjalan dan menumpukan perhatian mereka kepada mereka berempat, terutamanya Kira. Kira diibaratkan sebagai putera di sekolah tersebut. Walaupun dia menjadi tumpuan hampir kesemua gadis di sekolah itu, Kira tetap tidak mempedulikan mereka. Bahkan, dia sendiri tidak mempunyai kekasih. Begitu juga dengan sahabat-sahabatnya. Mereka berempat lebih senang bersendirian.

         “ Itu kelas seni tahun kedua, kan?”

         Kira mengangguk. Dia menjenguk ke dalam. Hampir kesemua pelajar di dalam kelas itu tiada. Matanya mencari kelibat Kotomi. Di sudut kelas itu, dia melihat Kotomi sedang berdiri menghadap tingkap. Pintu kelas diketuk kuat. Ketukan yang kuat itu menarik perhatian pelajar yang berada di dalam kelas itu.

         “ Ada apa?” tanya seorang pelajar perempuan sambil tersenyum manis. Rakan-rakannya mendekati dia. Satu kejutan buat pelajar kelas itu, putera sekolah menjenguk kelas mereka. Tentu ada sesuatu yang dicarinya.

         “ Tolong panggil Kotomi, boleh?” tanya Kira tanpa menghiraukan lagak pelajar perempuan itu. Dia menjenguk ke dalam. Kotomi tetap setia berada di hadapan tingkap itu, seolah-olah tidak mendengar langsung ketukan tadi.

         “ Kotomi? Er… dia…” belum sempat pelajar perempuan itu menghabiskan ayatnya, Kira segera memanggil Kotomi. Dia dapat mengagak apa yang akan dikatakan oleh pelajar perempuan itu.

         “ Kotomi!” panggilnya lantang. Kotomi tersentak. Dia menoleh ke belakang dan melihat ke arah pintu.

         “ Kira?”

         “ Mari ke sini,” arahnya. Kotomi mencebik. Dia berjalan menuju ke pintu kelas. Kumpulan pelajar perempuan itu kelihatan terkejut, namun mereka tidak berkata apa-apa. Kotomi mendongak, mencari wajah Kira. Perbezaan ketinggian mereka yang ketara memaksa dia mendongak.

         “ Ada apa?”

         Kira menoleh ke belakang, mengangguk sedikit ke arah rakan-rakannya. Ketiga-tiga sahabatnya mengangguk faham. Mereka bertiga menjarakkan diri dari Kira, memberi sedikit ruang bagi mereka berdua bercakap.

         “ Pasal kelmarin. Aku…”

         “ Awak marahkan saya ke?” tanya Kotomi. Kira tersentak. Betul apa yang dikatakan oleh Hiro. Nampaknya Kotomi sedang memikirkan peristiwa semalam. Kira tersenyum.

         “ Bukan. Aku tak marahkan kau, cuma ada masalah sikit kelmarin. Kertas-kertas tu masih ada dalam bilik ke?”

         Kotomi mengangguk. “ Saya tak berani buang, manalah tau ada benda yang awak tak ambil lagi.”

         Kira ketawa. Dia menarik hidung Kotomi. Kotomi mendengus. “ Bagus betul budak kecil ni. Petang ni, tolong aku macam kelmarin. Boleh?” 

         “ O…”

         “ Tolong, ye?” pujuk Kira. Dia membuat mimik muka sedih. Hampir ketawa Kotomi dibuatnya. Dia menahan diri dari menghamburkan tawanya.

         “…key. Tapi, dengan satu syarat!” katanya bersemangat. Kira mengangkat keningnya. “ Apa?”

         “ Berhenti buat saya macam budak kecil,” kata Kotomi. Kira ketawa.

         “ Yang tu tak boleh janji. Tapi, jangan lupa. Aku boleh adu pada Mak Cik Inoue kalau kau tak nak tolong aku,” ugut Kira. Serentak dengan itu, kaki kanannya ditendang Kotomi.

         “ Hoi!”

         Kotomi tersenyum puas. “ Padan muka. Saya akan tolong awak nanti. Okey?” tanya Kotomi. Kira mengerutkan keningnya.

         “ Takkan setiap kali aku nak minta tolong, kau nak tendang aku?” tanya Kira tak percaya. Shin, Toma serta Hiro yang berdiri di belakangnya sudah tidak dapat menahan ketawa. Gelak ketawa mereka menarik perhatian Kira.

         “ Korang pun nak ketawa?”

         Mereka bertiga berjalan mendekati Kira. “ Kitorang tabik kat Kotomi. Sebelum ni mana ada budak perempuan layan kau macam manusia biasa. Kotomi, Kira banyak menyusahkan awak ke?” tanya Toma. Dia tersengih lebar.

         “ Mungkin?”

         “ Sudahlah, waktu rehat dah nak habis. Kotomi, balik nanti tunggu kat taman. Kita jumpa kat sana, jangan balik jalan kaki pulak,” pesan Kira. Mukanya berkerut menahan kesakitan.

         “ Yelah, tuan muda,” katanya mengejek. Tanpa berkata apa-apa, Kotomi segera masuk ke kelas. Mulut Kira terlopong. Tidak percaya Kotomi pergi begitu sahaja.

         “ Dia boleh pergi macam tu je? Sia-sia je aku datang minta maaf,” katanya. Hiro ketawa. Dia menepuk bahu Kira.

         “ Sekurang-kurangnya dia bukan macam budak perempuan lain. Dia layan kau macam manusia biasa, bukannya macam putera mahkota.”

         “ Bukannya senang kau nak cari budak perempuan macam tu. Tapi, nampaknya masalah akan timbul nanti. Kau kenalah pandai nak hapuskan masalah tu,” kata Shin pula. Dia mengerling jam tangannya sebelum menoleh ke arah Kira.

         “ Yui dan kawan-kawannya tentu tak akan lepaskan Kotomi macam tu je. Mereka tentu marah sebab kau rapat dengan Kotomi. Yelah, selama ni kau jauhkan diri dari semua budak perempuan kat sekolah ni, bila kau kenal Kotomi kau rapat dengan dia. Mana tak angin si Yui tu,” kata Shin lagi.

         Kira hanya mendiamkan diri. Dia sedang memikirkan sesuatu. Baginya, apa yang dikatakan oleh Shin itu benar. Selepas ini, Kotomi pasti akan menghadapi masalah kerananya. Pasti. Dan dia mesti menghalang sesuatu yang buruk menimpa gadis itu. Walau dengan apa cara sekalipun. 

No comments:

Post a Comment

TVXQ - Lovin' You