Wednesday, November 3, 2010

Lovin' You 11

SELURUH tubuhnya menggigil ketakutan. Selimut yang menyelimuti tubuhnya ditarik rapat. Nafasnya sesak. Bibirnya bergetar, wajahnya pucat. Dia langsung tidak menghiraukan orang yang berada di sekelilingnya.

         “ Macam mana boleh terjadi macam ni?” lembut Cikgu Inari menyoal. Wanita itu merupakan guru yang bertanggungjawab terhadap bilik sakit sekolah. Dia mencatat sesuatu di dalam fail sebelum kembali menghadap Kotomi.

         “ Saya tak pasti, tapi saya jumpa satu kotak yang berisi katak dan tikus mati yang masih berdarah berdekatan dengannya,” kata Setsuna.

         “ Macam mana kamu boleh ada dekat dengan dia?” tanya Cikgu Inari lagi.

         “ Saya berada di dalam bilik piano masa tu. Kami juga sempat bercakap sebentar sebelum dia ke Dewan Besar. Saya baru je nak kunci pintu bilik piano masa saya dengar dia menjerit,” terangnya.

         Peristiwa tadi kembali menerjah minda Setsuna. Dia masih ingat, dia baru sahaja ingin mengunci pintu bilik piano sementelah lagi dia sudah mahu pulang. Baru sahaja dia memasukkan anak kunci ke dalam lubangnya, jeritan Kotomi kedengaran. Mengesyaki sesuatu yang buruk terjadi, dia bergegas ke bilik piano. Alangkah terkejutnya dia sebaik sahaja melihat Kotomi yang menggigil ketakutan, terduduk di atas lantai. Sebuah kotak kecil kelihatan berada di sisinya, begitu juga dengan beberapa ekor bangkai tikus dan katak yang masih berdarah. Nampaknya, bangkai-bangkai itu berasal dari kotak itu.

         “ Cikgu perlu telefon penjaganya. Kamu tahu dia tinggal dengan siapa?”

         “ Apa yang saya dengar, dia sekarang tinggal bersama Kira. Cikgu nak telefon Kira ke?”

         “ Ha’ah.”

         Setsuna tersenyum. “ Tak payahlah, cikgu. Biar saya hantar dia pulang. Saya tinggal satu taman perumahan dengan Kira.”

         “ Baguslah kalau macam tu. Biar cikgu tolong papah dia ke kereta.”

         “ Baik.”


KIRA melihat jam di dinding. 7.30 malam. Dia mengeluh. Kotomi masih belum pulang dari sekolah. Pada mulanya, dia menjangkakan gadis itu sudah pulang ke Haru Mansion, apatah lagi Kotomi sudah keluar dari Dewan Hanami lebih awal daripadanya.

         Kira berjalan menuju ke tingkap. MP3 dikeluarkan. Dia tersenyum. Teringat akan Kotomi yang telinganya sentiasa tersumbat dengan earphone kerana mendengar lagu. Butang Play ditekan, Schubert’s Serenade kedengaran di telinganya.

         Kira menyukai simfoni. Schubert’s Serenade merupakan kegemarannya selain daripada karya Mozart dan Beethoven.

         “ Tuan muda?”

         Kira menoleh ke belakang. Pak Cik Ozu berdiri di belakangnya.

         “ Ada apa, pak cik?”

         “ Kotomi masih belum pulang. Tuan muda tahu dia ke mana?”

         Kira menggeleng. “ Jangan risau, budak tu tentu pulang nanti. Kita tunggu je,” katanya. Dia kembali menghadap tingkap. Ada kereta berhenti di hadapan pagar rumahnya. Dahi Kira berkerut.

         “ Siapa tu, pak cik?”

         Kira mengecilkan matanya, cuba mengecam dua susuk tubuh yang berdiri menghadap rumahnya. Dia terkejut. Tanpa berkata apa-apa, dia segera keluar dari rumahnya, menuju ke pagar. Memang sah! Kotomi! Di sisinya seorang pelajar lelaki berdiri. Dia kenal pelajar lelaki itu. Langkahnya dicepatkan.

         “ Kenapa kau pulang lewat?” tanyanya kasar sambil berjalan. Kotomi terkejut. Dia memandang ke arah Kira. Kira mendekati Kotomi dan Setsuna. Matanya mencerlang. Kotomi senyap, menunduk memandang tanah.

         “ Maaf, aku tak nak masuk campur. Tapi, dia ada masalah tadi,” kata Setsuna.

         “ Ye ke?” Datar Kira bersuara. Tanpa perasaan.

         “ Kau masuk ke dalam dulu. Tunggu kat ruang tamu,“ arahnya. Kotomi mengangguk. Dia mengambil begnya dari Setsuna, berjalan masuk ke rumah. Dia masih lemah. Peristiwa tadi masih menghantuinya.

         “ Kenapa dengan dia?” tanya Kira sebaik sahaja Kotomi masuk ke dalam rumah. Nada suaranya masih datar. Dia mengalih pandang ke arah Setsuna.

         “ Dia terkejut. Ada pelajar letakkan kotak berisi bangkai katak dan tikus yang masih berdarah dalam lokarnya. Aku yang jumpa dia tadi,” terang Setsuna.

         “ Apa?”

         Setsuna mengangguk. “ Aku rasa tu kerja peminat kau. Mungkin mereka cemburu kau rapat dengan dia.”

         Senyap.

         “ Aku balik dulu. Lebih baik kau jaga dia dengan baik lepas ni. Kita tak tahu kalau kejadian macam ni akan berlaku lagi,” kata Setsuna. Dia menepuk bahu Kira sebelum berjalan pergi. Kira mengangguk. Dia menoleh ke belakang, ke arah rumahnya. Dia berjalan masuk dengan tergesa-gesa. Kotomi sedang menunggu di ruang tamu, Pak Cik Ozu dan Mak Cik Inoue ada di sisinya. Fuyuki dan Miyuki turut berada di situ.

         “ Kau tak apa-apa?” tanyanya lembut. Kotomi tergamam. Dia mengangkat wajah, melihat ke arah Kira. Perlahan-lahan, dia mengangguk.

         Kira mengeluh. “ Mak Cik Inoue, bawa Kotomi masuk bilik. Lepas dia mandi dan makan, saya akan jumpa dia di bilik.”

         Mak Cik Inoue mangangguk. “ Baik, tuan muda.”

         Fuyuki dan Miyuki memegang bahu Kotomi, menyokongnya agar tidak jatuh. Mak Cik Inoue menuruti mereka. Mereka berempat menuju ke South Wing. Pak Cik Ozu masih di situ. Menemani Kira yang kelihatan gelisah. Kira meraup wajah.

         “ Apa yang berlaku, tuan muda. Pak cik dah tanya pada Kotomi, tapi dia tak cakap apa-apa.”

         “ Salah saya.”

         “ Maksud tuan muda…”

         “ Mungkin ni perbuatan pelajar perempuan sekolah saya. Pak cikkan tahu, mereka akan buat apa sahaja untuk dekati saya, malah untuk menghapuskan gadis yang saya rapat,” katanya perlahan.

         “ Bahaya bagi Kotomi.”

         “ Ya.”


“ MULAI sekarang, kalau kau nak ke mana-mana pastikan ada orang yang temankan kau. Aku risau kalau perkara macam ni akan terjadi lagi, atau akan lebih teruk lagi. Esok tak payah ke sekolah. Rehat dulu di rumah. Cikgu Inari dah beri kebenaran.”

         Kira berada di dalam bilik Kotomi. Mak Cik Inoue dan Pak Cik Ozu turut berada di situ. Pucat wajah Kotomi sudah berkurangan. Bibirnya juga sudah merah kembali.

         “ Tak ada apa-apalah. Tadi saya cuma terkejut je,” kata Kotomi. Dia mengukir senyum. Tidak mahu membimbangkan sesiapa. Sungguh. Dia tidak mahu sesiapa pun bimbang akan dirinya.

         “ Kotomi…” suara Kira bergetar.

         “ Betul. Jangan bimbang,” kata Kotomi lagi.

         “ Walau ke mana kau nak pergi, pastikan kau berteman. Ini arahan aku. Aku akan cakap pada Nori dan Ran esok. Kalau perlu, aku akan telefon mereka sekarang juga. Kau ke sekolah dengan aku. Jangan tunggang basikal lagi. Nak keluar dari rumah ni pun pastikan ada orang temankan. Kalau bukan Fuyuki atau Miyuki, aku yang akan temankan kau. Faham?” tegas Kira.

         “ Mana boleh!”

         “ Muktamad.” Kira berjalan keluar dari bilik itu. Wajahnya tegang. Pak Cik Ozu menuruti langkahnya. Mak Cik Inoue memeluk bahu Kotomi. Menepuk-nepuk bahu gadis itu.

         “ Ikut je apa yang tuan muda arahkan. Dia bimbangkan kamu. Kalau apa-apa terjadi pada kamu, macam mana kami nak beritahu pada nenek saudara kamu, mak kamu. Tentu Kotomi tak nak mereka bimbang, kan?” pujuk Mak Cik Inoue. Wajah Kotomi dipandang lembut.

         “ Emm…”

         “ Sudahlah, pergi tidur. Ikut kata tuan muda, ye?”

         Kotomi mengangguk lemah. Dia membaringkan diri di atas katil. Selimut ditarik. Mak Cik Inoue mengucup dahi Kotomi sebelum keluar dari bilik itu. Lampu dipadamkan, hanya lampu meja sebelah katil Kotomi sahaja yang masih melimpahkan sinarnya. Pintu bilik ditutup. 

No comments:

Post a Comment

TVXQ - Lovin' You