Wednesday, November 3, 2010

Lovin' You 3

“ KOTOMI, dah siap?” panggil Mak Cik Inoue dari luar pintu.

         Pintu dibuka. Kotomi keluar dari bilik itu. Seragam hitam putih tersarung di tubuh kecilnya. Mak Cik Inoue tersenyum.

         “ Baju tu memang sesuai dengan kamu,” puji Mak Cik Inoue. Gaun hitam paras paha pembantu rumah itu memang sesuai dengan Kotomi. Tambahan lagi, Kotomi mengikat satu tocang di sebelah kanan kepalanya. Apron putih dipakai.

         “ Mak Cik Inoue?”

         “ Ya?”

         “ Kenapa gaun ni paras paha? Siap ada legging hitam paras betis lagi. Saya tengok gaun pembantu rumah yang lain paras betis semuanya, tak macam saya?” tanya Kotomi. Dia merasakan pertanyaan itu sesuatu yang melucukan, namun dia tidak dapat menahan dirinya daripada bertanyakan soalan itu. Benar, kesemua pembantu rumah yang lain diperhatikannya memakai sut paras betis, tetapi kenapa dia berbeza? Ada sesuatu ke?

         “ Puan sendiri yang pilih baju ni. Kalau nak tahu, tanyalah puan. Tapi, mak cik tengok baju ni sesuai dengan kamu. Lagipun kamu masih lagi remaja. Payah kamu nak bergerak nanti kalau pakai labuh,” kata Mak Cik Inoue. Dia menggosok lembut kepala Kotomi. Kotomi dipandangnya dengan perasaan kasih. Kotomi mengangguk.

         “ Bila mak cik nak kenalkan saya dengan yang lain?” tanya Kotomi.

         “ Mari, semua dah menunggu kamu di dapur. Jom,” ajak Mak Cik Inoue. Tangan Kotomi ditarik. Mereka berdua menuju ke dapur. Sepanjang perjalanan, Kotomi melihat keadaan rumah agam itu. Mewah, tetapi tiada gelak ketawa penghuninya.

         Mak Cik Inoue telah memberitahunya, rumah agam ini dipanggil Haru Mansion. Ada 10 buah bilik, 5 buah bilik tetamu, sebuah perpustakaan, sebuah gimnasium, dua ruang tamu, sebuah galeri dan dua kolam renang di rumah ini. Itu tidak termasuk dengan taman bunga ros yang diusahakan oleh Puan Masashi. Kawasan bilik pembantu rumah terletak di bahagian South Wing rumah agam itu. Perpustakaan, gimnasium serta galeri terletak di North Wing manakala ruang tamu digabung dan terletak di ruang tengah Haru Mansion. Arca dewi kristal yang dilihatnya tempoh hari menandakan sempadan dua ruang tamu itu.

         “ Kotomi, selamat datang ke Haru Mansion,” ucap Mak Cik Inoue. Pintu berukir indah di hadapannya dibuka. Kesemua pembantu rumah sudah berkumpul di dapur. Kotomi tergamam. Dia tidak menyangka hanya seramai ini pembantu rumah di Haru Mansion. Dua orang gadis mendekati Kotomi.

         “ Selamat berkenalan, Kotomi. Kita sudah berjumpa semalam. Saya Miyuki. Ini adik kembar saya, Fuyuki,” sapa gadis itu. Mereka berdua tunduk hormat kepada Kotomi. Begitu juga dengan Kotomi.

         “ Mereka berdua anak saya. Kotomi, kenalkan ini Mak Cik Nami, dia ketua tukang masak di sini. Michiko dan Seshuke merupakan pembantunya. Ini pula...” Seorang demi seorang dikenalkan kepada Kotomi. Mereka semuanya mesra dengan Kotomi, sedikit sebanyak melegakan Kotomi. Sedang mereka asyik berbual, pintu dibuka. Seorang lelaki tua masuk ke dapur. Lelaki tua itu kelihatan kemas bersut hitam.

         “ Kotomi, kenalkan. Ini Pak Cik Ozu, dia merupakan butler merangkap pembantu tuan muda kita. Pak Cik Ozu antara pembantu yang lama bekerja di sini, sama seperti nenek saudara kamu,” terang Mak Cik Inoue. Kotomi mengangguk. Dia mendekati lelaki tua itu.

         “ Apa khabar? Saya Kinimoto Kotomi, pembantu baru di sini. Sila beri tunjuk ajar,” ujar Kotomi. Dia tunduk hormat di hadapan Pak Cik Ozu. Pak Cik Ozu tersenyum.

         “ Panggil pak cik, Pak Cik Ozu. Pak cik dah lama kenal dengan nenek saudara kamu. Jangan bimbang, anggap je kami semua ni macam keluarga kamu,” pesan Pak Cik Ozu.

         “ Betul apa yang Pak Cik Ozu katakan tu. Lagipun, kami berdua ada,” kata Fuyuki. Kedua-dua kembar itu memaut lengan Kotomi.

         “ Betullah tu. Hari-hari kamu kena usik dek kembar berdua tu,” kata Pak Cik Ozu lagi.

         Kotomi ketawa senang hati. “ Terima kasih, semua.”

       
AIR teh dituang ke dalam cawan, lantas dihulurkan kepada anak majikannya. Kira meletakkan majalah yang dibacanya di meja. Air teh yang dihulurkan oleh Pak Cik Ozu dihirup perlahan.

         Kira memerhati suasana taman bunga ros ibunya. Puan Masashi memang gemar menanam bunga, terutamanya bunga ros. Jika ibunya tiada masa, ibunya akan menyuruh tukang kebun menyelanggarakan taman itu. Pelbagai warna bunga ros dapat diperhatikan. Ros merah, kuning, merah jambu serta ros putih. Setiap hari, bunga ros itu akan dipetik dan diletakkan di dalam vas di ruang tamu. Bapanya tidak menghalang minat ibunya itu.

         “ Tuan muda?”

         “ Ya?”

         “ Tuan muda dah jumpa dengan cucu saudara Mak Cik Ono?” tanya Pak Cik Ozu.

         Kira menggeleng. “ Pak cik dah jumpa dengan budak tu?”

         “ Tengah hari tadi. Kalau tuan muda nak jumpa dengan dia, pak cik boleh tolong panggilkan.”

         “ Tak perlulah, pak cik. Lagipun, budak tu sama sekolah dengan saya. Pak cik tau, kan? Saya tak suka kalau perkara tu terjadi dalam rumah ni. Sudahlah di sekolah saya kena layan mereka, di rumah pun ada?” kata Kira. Dia melempar pandang kearah taman bunga. Mustahil lelaki tua itu tidak mengetahui apa yang dimaksudkan olehnya, sedangkan Pak Cik Ozu merupakan orang yang paling memahami dirinya. Bukan bapanya. Bukan juga ibunya. Hanya kepada lelaki tua itulah dia mencurah segala perasaannya.

         Pak Cik Ozu mengangguk. Dia faham apa yang dimaksudkan oleh ramaja itu. Sudah beberapa kali Kira memberitahu masalah dia diganggu oleh pelajar perempuan di sekolah. Kemana sahaja Kira melangkah, pasti ada beberapa orang pelajar perempuan yang mengikutnya. Setiap hari, pasti ada surat cinta yang diselit ke dalam lokar Kira. Kadang-kadang, ada juga pelajar yang berani meluahkan perasaannya di hadapan Kira. Namun, semuanya ditolak mentah-mentah oleh Kira. Kira cukup membenci sesiapa yang menganggunya seperti itu.

         “ Pak cik,” panggil Kira perlahan. Matanya masih tertumpu pada taman bunga.

         “ Ya?”

         “ Nampaknya, tak semua pelajar perempuan sama. Tadi, saya bertemu dengan seorang gadis yang berbeza.”

         “ Apa maksud tuan muda?” tanya Pak Cik Ozu penuh sabar. Dia memandang wajah anak muda itu. Kira mengeluh.

         “ Memang pertemuan tadi menyakitkan hati, tapi dia betul-betul berbeza. Semasa saya nak kelas tadi, gadis tu terlanggar saya. Memang saya yang salah sebab tengking dia walaupun dia minta maaf, tapi saya memang tidak dapat tahan kemarahan saya tadi. Kesian dia. Teruk ditengking. Dia minta maaf beberapa kali, tapi saya tetap tengking dia. Yang lucunya, dia tujah dahi saya sebab tak tahan kena tengking. Kaki saya pula yang dipijak gadis tu. Dia pula yang marahkan saya. Ada ke dia panggil saya ‘ putera bongkak’?” kata Kira. Dia ketawa kecil. Pak Cik Ozu masih senyap, membiarkan Kira habis bercerita.

         “ Biasanya, kalau saya marah pada pelajar perempuan, mereka akan minta maaf balik pada saya. Malah, mereka tak berani nak kata apa-apa. Tapi, budak tu berani lawan saya balik. Selama tiga tahun saya belajar di situ, saya tak pernah lagi jumpa dengan gadis yang macam tu,” kata Kira lagi. Ketawanya masih lagi berterusan. Wajahnya juga ceria.

         “ Pak cik gembira bila tengok tuan muda macam ni,” kata Pak Cik Ozu.

         “ Apa maksud pak cik?” tanya Kira kehairanan. Dia mengangkat wajah, memandang seraut wajah tenang lelaki tua itu. Pak Cik Ozu mengukir senyum.

         “ Selama ini, pak cik tak pernah lihat wajah tuan muda segembira ini ketika bercerita tentang pelajar perempuan sekolah tuan muda. Biasanya, tuan muda akan mengutuk mereka, tetapi hari ini tuan muda nampak gembira sangat,” terang Pak Cik Ozu. Kira tergamam.

         Betul ke apa yang Pak Cik Ozu katakan? Tapi, gadis itu benar-benar berbeza. Aku harap aku akan bertemu lagi dengannya walaupun pertemuan akan datang akan menyakitkan hati.

         “ Pak cik masuk ke dalam dulu. Pak cik perlu ke dapur. Sekejap lagi pak cik akan datang lagi.”

         Kira mengangguk. Tumpuannya kini pada taman bunga ros. Namun, ada sesuatu yang sedang bermain di fikirannya ketika ini. Wajah gadis itu dan tingkah gadis itu bermain di fikirannya.


“ MIYUKI, nak tanya sikit boleh?”

         Miyuki bangun daripada pembaringannya. Dia melihat ke arah Kotomi. Fuyuki masih belum pulang dari dapur. Kini, hanya dia dan Kotomi sahaja yang berada dalam bilik. Asalnya, hanya dia dan Fuyuki yang tinggal dalam bilik itu. Tetapi, ibunya tidak membenarkan Kotomi tinggal seorang diri di bilik sebelah, lantas kedua-dua kembar itu menawarkan bilik mereka untuk dikongsi bersama Kotomi.

         “ Apa dia?”

         “ Tadi, Mak Cik Inoue bawa saya melawat kawasan rumah ni. Ada sebuah bilik yang terletak berhadapan dengan taman bunga ros Puan Masashi. Mak Cik Inoue kata bilik itu sentiasa berkunci, dan kita tidak dibenarkan mendekati bilik itu. Kenapa, Miyuki?” tanya Kotomi.

         “ Kita memang tak dibenarkan mendekati bilik itu. Apatah lagi memasukinya. Sebenarnya, bilik itu kepunyaan tuan muda. Hanya Pak Cik Ozu sahaja yang dibenarkan masuk. Apa yang ada dalam bilik tu, kami tak tahu. Tuan muda juga tidak membenarkan tuan dan puan masuk ke dalam bilik itu,” kata Miyuki tanpa berselindung.

         “ Tapi, kenapa…”

         “ Kami tak tahu. Apa yang pasti, dulu ada seorang lelaki yang bekerja di sini sebagai tukang kebun pernah masuk ke dalam bilik itu. Selepas tuan muda dapat tahu, teruk lelaki tu kena marah. Tak lama kemudian, lelaki tu berhenti kerja,” celah Fuyuki yang baru sahaja masuk ke dalam bilik. Dia memegang sepiring buah epal yang telah dipotong. Dia menghulurkan piring itu kepada Miyuki dan Kotomi.

         “ Lelaki tu tak beritahu ke apa yang ada dalam bilik tu?” tanya Kotomi lagi. Dia mengunyah potongan epal yang diberikan oleh Fuyuki. Fuyuki menggeleng.

         “ Sejak hari tu, tak ada siapa yang berani pergi dekat dengan bilik tu,” kata Miyuki pula. Kotomi diam. Apa yang hebat sangat pasal bilik tu sampaikan tuan muda tak benarkan sesiapa pun mendekati bilik itu?

         “ Tak payah fikirkan lagi pasal bilik tu. Esok kita kena ke kolej, Kotomi pula perlu ke sekolah. Tidur, dah lewat ni,” kata Fuyuki, dia melempar bantal peluknya ke arah Miyuki. Miyuki segera menepis.

         “ Orang nak tidur tak ada yang main lempar bantal,” kata Miyuki berpura-pura marah. Sejurus kemudian, anak patung beruang Kotomi menjadi mangsa lemparan Miyuki. Anak patung itu tepat mengenai muka Fuyuki. Riuh bilik itu dengan gelak ketawa mereka bertiga. 

No comments:

Post a Comment

TVXQ - Lovin' You