Wednesday, November 3, 2010

Lovin' You 13

JAMBANGAN bunga ros putih itu dicium berulang kali. Kotomi mengukir senyum kepada orang yang memberikan jambangan ros itu. Lesung pipitnya terserlah. Kedua-dua matanya yang bulat bersinar.

         “ Terima kasih,” ucapnya. Setsuna tersenyum.

         “ Awak suka? Saya tak tau nak pilih bunga yang mana satu,” kata Setsuna sambil ketawa. Kotomi tersenyum lagi.

         “ Nasib awak baik. Saya memang sukakan ros putih.”

         Kotomi membawa Setsuna ke ruang tamu. Hari ini dia cuma memakai T-shirt putih lengan panjang dan jean paras lutut sahaja. Mak Cik Inoue melarangnya memakai uniformnya, alasan Mak Cik Inoue hari ini dia perlu berehat. Kotomi hanya menurut sahaja perintah wanita tua itu.

         “ Sebentar, saya nak ke dapur. Tunggu ye?” kata Kotomi.

         Setsuna mengangguk. “ Baiklah.”

         Kotomi segera berlari menuju ke dapur. Setsuna menggelengkan kepalanya sambil ketawa kecil. Lucu melihat tingkah Kotomi. Dia bangun dari sofa empuk itu, berjalan menuju ke dinding. Dia mendongak. Sebuah bingkai gambar berwarna keemasan tergantung di dinding itu. Kesemua ahli keluarga Masashi berada di dalam gambar itu.

         “ Tuan Muda Setsuna?”

         Setsuna menoleh. Wajah Pak Cik Ozu menggamit pandangan. Setsuna senyum lantas tunduk hormat.

         “ Lama kita tak jumpa, pak cik.”

         Pak Cik Ozu mengangguk. “ Hampir dua tahun. Sejak...”

         “ Sejak hari tu…” potong Setsuna perlahan. Pak Cik Ozu mengeluh. Lelaki tua itu mengangguk setuju.

          Suasana sepi sejenak. Mereka berdua membisu.
  
         “ Kenapa tuan muda ke sini?” Pak Cik Ozu memecahkan kesunyian antara mereka. Dia mahu tahu keadaan Setsuna setelah sekian lama mereka tidak berjumpa.  Sejak hari itu. “ Tuan muda dah...”

         Setsuna menggeleng. Dia tahu apa yang ingin dikatakan oleh lelaki tua itu.

         “ Bukan, pak cik. Saya datang jenguk Kotomi. Saya baru je kenal dia,” terang Setsuna. Pak Cik Ozu mengangguk.

         “ Pak cik?”

         Pak Cik Ozu mendongak. Memandang tepat ke arah wajah anak muda itu.

         “ Macam mana dengan Kira?” Akhirnya terluah jua apa yang sekian lama dipendamkan olehnya. Sudah lama dia ingin tahu keadaan Kira, namun keadaan tidak mengizinkan dia. Semuanya kerana perkara itu.

         “ Tuan Muda Kira baik-baik sahaja. Tapi, dia lebih memendam perasaan sekarang. Buat masa ni, dia suka berada di dalam bilik tu. Nasib Tuan Muda Kira baik, sekarang ni Tuan Masashi dan Puan Masashi tiada di rumah,” kata Pak Cik Ozu.

         “ Pak cik dan mak cik ke mana?” tanya Setsuna.

         “ Paris. Tuan Masashi ada urusan di sana.”

         Setsuna mengangguk. “ Saya harap sangat keadaan boleh baik seperti dulu. Saya tak salahkan Kira, saya tahu kenapa dia jadi macam tu. Saya cuma boleh doakan pak cik akan benarkan dia kejar impian dia. Saya kasihankan Kira. Sudah lama dia ingin lihat impiannya terlaksana. Sejak datuknya meninggal lagi,” kata Setsuna ikhlas.

          Mereka berdua sama-sama mengejar impian. Setsuna sudah mencapai impian untuk bergelar penyanyi. Itulah apa yang diidamkan oleh dia sejak sekian lama. Nasibnya baik, dia diterima dengan baik dalam industri hiburan itu. Malahan, dia lebih popular berbanding artis-artis yang sudah sekian lama bertapak dalam bidang itu. Sedangkan Kira...

          “ Pak cik yakin Tuan Muda Setsuna boleh berbaik kembali dengan Tuan Muda Kira. Sekarang, tuan muda ada rakan-rakan yang menyokong di sisinya. Malah, dia yang dingin dengan perempuan sudah boleh berkawan baik dengan Kotomi,” kata Pak Cik Ozu. Wajahnya redup.

          Setsuna mengangguk.

          “ Tuan muda?”

          “ Ya?”

          “ Pak cik nak minta tolong. Jika Tuan Muda Kira benar-benar tidak dapat mencapai impiannya, saya harap Tuan Muda Setsuna akan tetap berada di sisinya,” kata Pak Cik Ozu perlahan.

          “ Baiklah, pak cik.”

          Kedua-duanya berdiam diri. Dalam kesepian itu, mereka tidak menyangka ada orang lain yang mendengar perbualan mereka. Kotomi turut diam. Sudah lama dia bersembunyi di sebalik dinding. Pada mulanya dia mahu menyertai mereka berdua, tetapi sebaik sahaja mendengar dengan teliti apa yang dikatakan oleh Setsuna, dia segera bersembunyi.

          Apa maksud Setsuna? Dia kawan baik Kira ke? Impian yang tak tercapai? Impian apa?


LANGKAH diatur perlahan menuju ke dapur. Kotomi mengeluh. Tekak yang haus memaksa dia meredah kegelapan rumah besar itu untuk ke dapur. Nasibnya kurang baik, bekas yang dikhaskan untuk menyimpan air di dalam biliknya telah kehabisan air. Miyuki terlupa bahawa malam ini gilirannya untuk mengisi air. Selang dua hari, mereka akan bergilir-gilir mengisi air di dalam bekas itu. Mungkin kerana keletihan menjalankan aktiviti-aktiviti di universiti membuatkan gadis itu terlupa.

          Apalah malang nasib aku ni? Dahla rumah ni besar, tengah-tengah malam pulak tu!

          Dapur dimasuki Kotomi tanpa dibuka lampu. Dia membuka pintu peti sejuk, mengambil sebotol besar air mineral yang disimpan di dalam peti sejuk tersebut. Gelas dicapai. Tegukan demi tegukan masuk ke dalam mulutnya. Kotomi tersenyum lega. Dia kembali menyimpan botol air mineral itu.

          Eh?

          Kotomi menoleh ke pintu dapur. Simfoni yang didengarnya tempoh hari kedengaran lagi. Kotomi tergamam. Sudah lama dia melupakan peristiwa tempoh hari, namun simfoni itu kedengaran lagi.

          Siapa yang main piano ni? Kira ke? Apa yang dia buat tengah malam macam ni?

          Kakinya menapak menuju ke hujung rumah agam itu. Gelap. Simfoni semakin kuat kedengaran. Kotomi meneguk liur. Dia bersembunyi di sebalik almari, perlahan-lahan kepalanya dijengukkan ke luar. Pintu bilik itu tertutup rapat. Kotomi melangkah merapati pintu bilik itu. Hatinya berdebar. Mindanya dikuasai dengan bayangan yang menakutkan.

          Ke bilik ni berhantu? Ishhh!!! Takkanlah!

          Krak!

          Alamak!

          Sisi almari kembali menjadi tempat persembunyiannya. Dia menjenguk sedikit. Dia nampak ada seorang lelaki keluar dari bilik itu, tetapi dia tidak dapat mengecam dapat kegelapan. Seperti tempoh hari, lembaga itu segera menghilang dalam kegelapan.

          Kira ke?

          Kotomi berdiri membelakangi almari. Fikirannya mencerna sesuatu. Perbualan antara Setsuna dengan Pak Cik Ozu petang tadi kembali bermain di minda. Simfoni tadi juga kembali terngiang-ngiang di telinganya.

          Bilik ni ada kaitan dengan apa yang dimaksudkan oleh Setsuna tadi ke? Impian? Apa tu? Takkanlah Kira nak jadi penyanyi macam Setsuna jugak? Ishh!!! Takkan... takkan. Atau, Kira nak jadi... pemain piano?

No comments:

Post a Comment

TVXQ - Lovin' You